Saturday, January 29, 2011

PIAWAIAN TETAP OPERASI

Kepada semua pelajar Surabaya, dikehendaki membaca dan memahami piawaian tetap operasi pada waktu darurat di bawah. Supaya apabila terjadinya bencana yang tidak disangkakan, kita dapat membuat langkah - langkah awal untuk menjaga keselamatan diri.

PIAWAIAN TETAP OPERASI
[STANDARD OPERATING PROCEDURES- (SOP)]
LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI

KRISIS BENCANA ALAM DI INDONESIA

LANGKAH-LANGKAH SEMASA BENCANA.

I. Sentiasa peka kepada berita-berita dari media massa, panggilan telefon, sms atau arahan daripada pihak berkuasa untuk berpindah.

II. Menghubungi segera Pengarah atau kakitangan JPMI.

III. Menghubungi semua pelajar setempat agar berkumpul di tempat yang telah dikenal pasti.

1. GEMPA BUMI

A ) Sekiranya anda di dalam bangunan

1) Tinggal kekal di dalam bangunan.

2) Ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.

3) Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh. Ia juga akan mengurangkan impak daripada objek yang jatuh) di mana mungkin.

4) Pilih lokasi yang boleh memberikan udara untuk bernafas dalam keadaan di mana bangunan runtuh di sekeliling anda

5) Jauhkan diri anda daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelungsur dan jatuh.

6) Berhati-hati dengan kepingan simen yang jatuh.

7) Peluk sesuatu (kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain) untuk menutup kepala dan muka daripada sampah-sarap dan serpihan kaca

8) Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api disebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.

9) Padamkan semua api.

B) Sekiranya anda di luar bangunan

1) Pindah ke kawasan terbuka dengan berhati-hati jauh daripada talian kuasa, tiang letrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu. Bahaya paling besar daripada sampah-sarap yang jatuh ialah di luar pintu dan hampir ke dinding sebelah luar

2) Jauhi daripada talian letrik yang jatuh.

3) Tinggal kekal di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.

C) Sekiranya di dalam stor yang sesak

1) Jangan tergesa-gesa untuk ke muka pintu atau keluar memandangkan beratus-ratus orang lagi mungkin mendapat idea yang sama

2) Sekiranya anda perlu meninggalkan bangunan, pilih jalan keluar dengan berhati-hati sebaik mungkin dan bertenang

3) Jauhkan diri daripada rak-rak peragaan yang mengandungi objek-objek yang mungkin jatuh.

D) Sekiranya di dalam bangunan tinggi

1) Berlindung di bawah meja atau perabot berat yang seumpamanya. Jauhkan diri daripada tingkap.

2) Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain.

3) Adalah lebih baik mencari keselamatan di mana anda berada sehingga gegaran berhenti, dan kemudian tinggalkan bangunan sekiranya pemindahan diperlukan.

4) Jangan gunakan lif sebab bekalan kuasa mungkin terputus.

5) Tinggal kekal di dalam bangunan di tingkat yang sama.

E) Sekiranya anda di laluan pejalan kaki dekat bangunan

1) Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri anda daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan sampah-sarap lain yang jatuh.

F) Sekiranya di dalam kereta yang bergerak

1) Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan yang sesuai. Walau bagaimana pun, jangan berhenti di bawah jambatan atau lintasan atas atau rentangan kabel atau di mana bangunan boleh runtuh ke atas anda

2) Tinggal di dalam kereta hingga gegaran berhenti. Kereta adalah penyerap kejutan yang amat baik dan akan mengayak di atas spring semasa gempa bumi, tetapi ianya adalah satu bedung yang selamat untuk menilai situasi anda

3) Bila anda terus memandu selepas gegaran, berwaspada terhadap bahaya yang terhasil daripada gempa bumi seperti objek yang sedang atau telah jatuh, wayar letrik yang terendam atau laluan jalan yang rosak atau berlubang-lubang

2. BANJIR

1) Segera memaklumkan kepada Pengarah JPMI atau mana-mana pegawai Kedutaan.

2) Menghubungi kawan-kawan yang tidak sedar dengan situasi ini.

3) Mengambil barang-barang keperluan asas.

4) Mengunci semua pintu-pintu bilik dan pintu rumah.

5) Berada di tempat tinggi sekioranya tidak sempat berpindah.

6) Matikan semua punca letrik dan gas.

7) Jangan menharungi air yang dalam dan deras

8) Segera berpindah ke tempat perpindahan sementara.

9) Sentiasa mengikut arahan daripada pihak berwajib dari semasa ke semasa.

10) Pelajar-pelajar lelaki perlu me,mbantu pelajar-pelajar perempuan dalam proses evakuansi.

11) Jangan menyebarkan berita-berita buruk atau khabar angin kepada kaum keluarga di Malaysia.

12) Jangan minum air mentah dan makan makanan yang bersih.

13) Laporkan jika suhu badan panas atau sejuk, dikuathiri deman panas atau deman denggi.

3. KEBAKARAN

Langkah-langkah apabila berlaku kebakaran

1) Jangan panik.

2) Bunyikan penggera untuk memberi isyarat kepada semua penghuni rumah. Selamatkan diri anda dan rakan/keluarga melalui jalan keluar yang sedia ada atau yang telah ditetapkan.

3) Hubungi balai bomba dan berikan butir-butir lengkap dan tepat mengenai lokasi rumah anda.

4) Matikan semua punca letrik dan gas.

5) Sementara menanti ketibaan bomba, cuba padamkan api dengan alat pemadam api. INGAT! Jangan sampai membahayakan diri anda.

6) Cari/tuju ke arah jalan keluar yang selamat. Pastikan anda telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua jalan keluar di rumah anda untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

7) Pastikan semua jalan keluar di rumah anda mudah dilalui dan bebas daripada sebarang halangan.

Perkara yang sentiasa perlu dilakukan dan diberi perhatian

2) Bincangkan Pelan Menyelamatkan Diri dengan rakan-rakan serumah. Anda harus mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan anda mengenai pelan menyelamatkan diri daripada kebakaran di rumah. Pastikan semua rakan serumah anda memahami dan mengetahui apa yang perlu dibuat jika berlaku kebakaran. Adakan fire drill dari masa ke semasa supaya ia sentiasa dalam ingatan ahli rumah anda.

3) Elakkan daripada mendiami rumah yang berjeriji terutama pada tingkap dan pintu rumah. Sekiranya ada, pastikan jeriji tersebut boleh dibuka daripada dalam rumah dengan mudah.

4) Pastikan anak kunci mudah diambil. Setiap ahli rumah mesti tahu tempat penyimpanan anak kunci pintu atau jeriji. Jangan mengubah tempat menyimpan anak kunci tanpa pengetahuan ahli rumah yang lain.

5) Pastikan sekurang-kurangnya ada satu alat pengesan asap (Smoke Detector). yang dipasang di dalam rumah dan sentiasa berfungsi.

4. KEMALANGAN

Langkah-langkah yang perlu di ambil perhatian

1) Pelajar dinasihatkan agar sentiasa membuat perancangan dengan teliti sebelum memulakan perjalanan.

2) Mendapatkan keizinan dan kebenaran pihak penaja sebelum melakukan perjalanan (ubah turutan).

3) Menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang dipercayai dan mempunyai rekod yang baik.

4) Sekiranya memandu sendiri atau menyewa kenderaan, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, mempunyai rekod kenderaan lengkap dan memiliki peralatan sokongan sewajarnya.

5) Memiliki lesen memandu yang sah serta perlindungan insurans perjalanan. Sediakan insurans perlindungan diri dan kenderaan.

6) Memaklumkan kepada rakan-rakan / universiti berkaitan tarikh, tempat dan tempoh perjalanan.

7) Memiliki persiapan kendiri dan peralatan peribadi bagi tujuan kecemasan seperti ubat ubatan.

8) Mempunyai maklumat berkaitan destinasi yang dituju, kemudahan disepanjang perjalanan dan nombor-nombor penting untuk dihubungi.

5. INSIDEN KEGANASAN

Langkah-langkah yang perlu di ambil perhatian

1) Sentiasa mengambil maklum situasi semasa menerusi media dan berita perdana tempatan.

2) Mengelakkan diri daripada kawasan dan tempat berbahaya dan berpotensi bagi aksi keganasan.

3) Tidak melibatkan diri dalam persatuan, pertubuhan, pergerakan yang bersalahan dan bercanggah dengan undang-undang pihak berkuasa tempatan.

4) Memaklumkan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang aksi yang disyaki sebagai keganasan dan jenayah.

5) Melaporkan pada pihak JPM, penaja, universiti dan rakan-rakan sekiranya mendapati sebarang maklumat yang mungkin boleh mengancam keselamatan pelajar Malaysia.

6. KEMATIAN

1) Sila maklumkan segera kepada Pengarah JPMI atau pegawai jika berlaku kematian di kalangan pelajar.

2) Buat persediaan awal pengurusan jenazah di rumah pelajar sebelum pegawai JPMI tiba untuk pengurusan lengkap jenazah.

3) Hubungi keluarga / waris terdekat untuk pemakluman dan mendapatkan keputusan pengurusan jenazah.

4) Memaklumkan kepada pihak universiti untuk tujuan yang berkaitan di bahagian rekod dan kemasukan serta bahagian kewangan dan fakulti.

5) Membantu JPMI menguruskan prosedur yang berkaitan di hospital, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan sijil dan dokumen lain yang perlu untuk urusan pengebumian atau penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.

6) Membantu JPMI menguruskan semua dokumen dan barang-barang peribadi milik jenazah untuk dihantar pulang ke Malaysia jika diminta oleh keluarga / warisnya.

7. PEPERANGAN

1) Sentiasa ikuti perkembangan semasa jika berlaku krisis keselamatan di dalam negara tempat belajar atau negara-negara jiran.

2) Hubungi Pengarah JPMI atau pegawai jika perlukan maklumat lebih lanjut.

3) Jika peperangan meletus, sediakan semua dokumen penting dalam satu beg khas dan diletakkan di tempat selamat dan mudah dicapai.

4) Tunggu arahan lanjut daripada pihak JPMI dan tidak mengambil tindakan sendiri sebelum mendapatkan pandangan / kelulusan pihak JPMI.

5) Jangan terlibat dengan sebarang tunjuk perasaan anti perang atau sebarang demonstrasi jalanan.

6) Jangan sama sekali terlibat dalam apa jua gerakan atau kumpulan yang mengajak anda untuk turut serta secara sukarela terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyokong atau menyertai peperangan yang berlaku.

7) Jika peperangan meletus dalam kawasan di mana anda berada, pastikan anda sentiasa berada di dalam rumah / bangunan dan tidak keluar ke kawasan berkenaan.

8) Jika anda berada di kawasan luar, sila dapatkan perlindungan di kawasan universiti atau balai polis yang berdekatan sehingga keadaan selamat dan anda diizinkan pulang ke rumah.

9) Bersedia untuk dipindahkan atau di arah pulang ke Malaysia jika keadaan peperangan semakin serius dan membahayakan keselamatan pelajar.

10) Hanya bawa dokumen penting dan keperluan asas diri apabila arahan pemindahan atau pulang ke Malaysia dikeluarkan oleh pihak JPMI dan berkumpul di tempat yang di arahkan secepat mungkin.

8. GANGGUAN / ANCAMAN KESELAMATAN DIRI

Langkah-langkah yang perlu di ambil perhatian

1) Jagalah keselamatan diri anda pada setiap masa dan di mana anda berada.

2) Elakkan diri daripada berjalan keseorangan atau berada di tempat yang sunyi terutama pada lewat malam. Gunakan laluan yang digunakan oleh orang ramai.

3) Elakkan daripada melalui laluan atau tempat yang terdapat kumpulan orang ramai yang berkumpul terutama golongan remaja. Gunakan laluan alternatif dan jangan hiraukan sekiranya anda diejek atau dilemparkan dengan kata-kata yang kurang menyenangkan.

4) Berhati-hati sekiranya anda ditegur oleh orang yang tidak dikenali untuk bertanyakan sesuatu. Sentiasa berwaspada dan peka pada keadaan di sekeliling anda.

PERINGKAT PERANCANGAN

Wujud 3 peringkat Perancangan

1. Pra Krisis

2. Semasa Krisis

3. Post Krisis

PRA KRISIS

1) PEMBUKAAN PUSAT KRISIS & PUSAT PENGUMPULAN BANTUAN BENCANA- MENGADAKAN DAFTAR BANTUAN YANG DITERIMA

2) MENGENALPASTI PEGAWAI BERTUGAS & DISKRIPSI KERJA

3) PENJANAAN INFORMASI AWAL TENTANG BENCANA DARIPADA SUMBER-SUMBER INFORMASI- JENIS ANCAMAN BENCANA, PREDIKSI KEJADIAN, SUMBER BANTUAN, TEMPAT PERLINDUNGAN DLL,

4) MENILAI TAHAP/ DARJAH KESERIUSAN BENCANA YANG BAKAL BERLAKU

5) EVAKUASI WARGA & BARANGAN BERHARGADARIPADA KAWASAN YANG DIKENALPASTI RAWAN BENCANA

6) MENEMPATKAN MANGSA DITEMPAT PERLINDUNGAN

7) PENYEDIAAN KEPERLUAN MANGSA PERPINDAHAN-MAKANAN, SELIMUT, UBAT-UBATAN

8) MENGEDARKAN INFORMASI BERKAITAN MAKLUMAT KRISIS DAN PERANCANGAN KECEMASAN

9) MELATIH WARGA MENGHADAPI BENCANA TERTENTU- MISALNYA BANJIR, GEMPA BUMI, KEBAKARAN

SEMASA KRISIS

1) MENGENALPASTI MANGSA WARGA/ STATUS KESIHATAN & KESELAMATAN

2) MENERUSKAN KERJA-KERJA EVAKUASI PADA KAWASAN YANG RAWAN BENCANA. EVAKUASI BOLEH DILAKUKAN KE MALAYSIA ATAU KETEMPAT PERLINDUNGAN.

3) MENJANA MAKLUMAT SECARA BERTERUSAN MENERUSI SUMBER-SUMBER INFORMAN

4) MEMBINA HUBUNGAN BAIK DENGAN SUPPORT SYSTEM-DEPLU,PRAMUKA,POLISI,RAKTOR/PENSYARAH/PEGAWAI UNIVERSITAS.

5) MENGEKALKAN KOMUNIKASI DENGAN WISMA PUTRA/ KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI/IBUBAPA

6) MENJALANKAN ADVOKASI MENERUSI MEDIA – MEDIA MUNGKIN MENJADI SATU-SATUNYA SUMBER KOMUNIKASI/ SUMBER MAKLUMAT DENGAN DUNIA LUAR APABILA BENCANA MENJADI BERTAMBAH SERIUS.

7) PENGEDARAN BANTUAN BERUPA MAKANAN &LAIN-LAIN KEPERLUAN

8) PEMBENTUKAN/ KEMASUKAN PASUKAN KESIHATAN UNTUK MENJAGA KESIHATAN, RAWATAN & PENGAGIHAN UBAT-UBATAN KEPADA MANGSA.

9) MONITOR PERKEMBANGAN BENCANA ALAM YANG BERLAKU-INVESTIGASI, MENILAI & MENYEDIAKAN PELAN STRATEGI SETERUSNYA.

10) PROSEDUR PENGHANTARAN PULANG JENAZAH JIKA BERLAKU KEMATIAN.

POST KRISIS

1) MENYIASAT/MENILAI/MELAPOR KEROSAKAN & KERUGIAN YANG DI ALAMI

2) MELAPOR PERKEMBANGAN & MAKLUMAT TENTANG PENAMATAN KRISIS KEPADA AGENSI-AGENSI KERAJAAN

3) MENYEDIAKAN PROSEDUR PEMULIHAN KRISIS

4) PENGHANTARAN PULANG WARGA JIKA TEMPAT PENGINAPAN SELAMAT/SIHAT UNTUK DIDUDUKI

5) MENERUSKAN ADVOKASI MENERUSI MEDIA- MENGUCAPKAN PENGHARGAAN/ NASIHAT PADA MANGSA.

6) PENGEDARAN INFORMASI BAGI MENGEKALKAN KESIHATAN WARGA

7) MENGAUDIT PERALATAN & BAKI BANTUAN YANG DITERIMA

8) PEMBUBARAN PUSAT KRISIS & TUGAS-TUGAS MENYELAMAT

DISEDIAKAN OLEH;

PENGARAH
JABATAN PENUNTUT MALAYSIA

DI INDONESIA